Hala Tuju selepas STPM karangan

Hala Tuju selepas STPM dan Kerjaya Idamanku
Hari kedua aku sebagai tingkatan 6 telah mendapat tugasan. Tugasan untuk aktiviti team building dan persembahan sketsa. Tugasan diberi oleh guru kaunseling SMK Sungai Kapar Indah, Puan Nadiah. Tajuk yang diberi seperti mana kalian semua tahu ialah Hala Tuju selepas STPM dan Kerjaya Idamanku. Mari kita mulakan karangan ini.
-
Saya sedar untuk berjaya sebagai seorang usahawan, saya hendaklah menanamkan cita cita untuk berjaya dalam bidang yang dihajati sejak kecil. Hak demikian amatlah penting kerana, untuk berjaya kita perlulah mempunyai hala tuju yang jelas. Saya sangat akur dengan hakikat bahawa hidup tanpa cita-cita ibarat gahnya sepohon yang rendang tapi yang tidak berbuah . Keputusan di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia,STPM penting  kerana ia bakal menentu hala tuju pelajar, sama ada mencongak ke menara gading , memohon pekerjaan atau mengambil jurusan kemahiran atau teknikal. Bagi yang bersedia,mereka sudah tahu apa yang bakal dilakukan selepas mendapat keputusan peperiksaan kelak.

Demi menyambung cita cita murni sebagai usahawan, menyambung Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perniagaan adalah salah satu hala tuju saya selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia,STPM . Memilih tawaran matapelajaran Seni Visual, Pengajian Perniagaan dan Sejarah di SMK Sungai Kapar Indah mengizinkan saya untuk menuntut ilmu yang lebih mendalam dalam bidang seni,perniagaan dan juga sejarah. Skop bidang seni merangkumi aspek yang berbeza. Ini mungkin termasuk bidang fotografi, reka bentuk dalaman, ilustrasi, seni halus, reka bentuk grafik, fesyen, tekstil, muzik dan sebagainya. Minat saya yang mendalam terhadap seni foto membuka mata saya terhadap perniagaan dalam fotografi seperti  tokoh usahawan Malaysia, Saiful Nang. Nama beliau tidak asing lagi dalam dunia seni foto. Beliau merupakan seorang jurugambar profesional yang terkenal serta mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan jurugambar-jurugambar di Malaysia. Beliau juga pernah dianugerahkan oleh Mediacorp Asia sebagai salah seorang jurugambar terbaik Asia serta disenaraikan oleh Dewan Ekonomi sebagai 20 usahawan berjaya  dan paling kreatif di Malaysia.
Semangat dan impian saya untuk meneruskan bidang perniagaan dalam bidang seni foto membuak buak kerana semasa saya berusia 9 tahun, saya telah didedahkan sedikit sebanyak oleh bapa saya tentang fotografi.Bapa saya ialah seorang pensyarah kanan dalam Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka bidang fotografi. Bapa saya juga telah menerbitkan beberapa buah buku fotografi dan menguruskan studio foto rasmi konvokesyen di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam.Minat saya dalam meneruskan perniagaan studio fotonya semakin tinggi. Seringkali sewaktu usia 16 dan 17 tahun,saya selalu mengikuti dan membantu bapa saya ketika Konvokesyen dijalankan. Perasaan situasi disana sebagai seorang pelajar Sijil Pelajaran Malaysia,SPM membuka mata untuk melihat pada masa yang akan datang dan bukan setakat pada masa yang kini.Sementara itu, sewaktu  berumur 13 dan 14 tahun saya bergiat aktif dalam kelab koperasi sekolah dan menjadi ahli dalam persatuan keusahawanan.Kemudian sewaktu di sekolah menengah atas, saya menukar kelab dan persatuan kepada fotografi kerana ketika di menengah rendah,kelab dan persatuan bagi fotografi tidak ditawarkan. Pelbagai pengalaman yang saya dapat ketika memasuki kelab tersebut. Pada tahun 2015, Saya dan sahabat perjuangan saya telah memasuki dan mewakili sekolah dalam pertandingan fotografi peringkat kebangsaan anjuran Perbadanan Putrajaya dengan kerjasama United Nations Educational Scientific and Cultural Organization, UNESCO dan Saiful Nang Academy of Photography,SNAP Club. Syukur kehadrat illahi , menyertai peringkat kebangsaan adalah salah satu pencapaian yang sangat sangat memberi makna terbesar kepada diri saya kerana tidak semua orang diberi peluang sebegitu.  Pada usia 16 tahun juga, saya mengambil keputusan dengan berbincang bersama kedua ibubapa saya dan akhirnya telah memulakan perniagaan kecil-kecilan dalam bidang seni foto dan percetakan. Mengambil upah melalui acara majlis rasmi, ataupun khidmat pelanggan yang memerlukan jurugambar dan sebagainya. Melalui ini, saya memerlukan pelajaran yang lebih mendalam terhadap perniagaan kerana semasa di aliran perdana, saya  mengambil jurusan sains tulen dan subjek tambahan seni visual dan mempunyai ilmu yang sangat sedikit tentang bidang perniagaan.

Atas sokongan ibubapa, saya ingin teruskan perjuangan menuntut ilmu saya dalam bidang perniagaan. Saya bersyukur mempunyai sahabat baik bernama Tan Yi Wee yang banyak membantu saya,memberi kata kata semangat dan menyokong dalam meneruskan bidang perniagaan. Hasrat untuk meneruskan pengajian ke luar negara dalam diri ada dan pastinya saya perlu berjuang habis-habisan dalam pertempuran ini.Sebagai asas dan permulaan,saya akan berjinak-jinak mencari pengalaman untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan orang asing melalui bekerja di bawah syarikat korporat atau menjual kad prabayar dan lain-lain. Perniagaan foto yang dijalankan tetap diteruskan namun begitu secara sambilan. Sesungguhnya , saya yakin dengan kata-kata hikmat "di mana ada kemahuan,di situ ada jalan". Sememangnya,untung dan rugi adalah lumrah dalam dunia perniagaan , namun saya tetap berpegang teguh dengan Sabda Nabi SAW bahawa, "Sembilan persepuluh daripada kekayaan adalah datang daripada perniagaan". Dalam memastikan niat untuk berjaya dalam dunia perniagaan , saya hendaklah mengamalkan disiplin yang tinggi. Dengan hal demikian, saya hendaklah mengamalkan sikap yang telus,menepati masa dan jujur apabila berurusan dengan pelanggan.Sudah sewajarnya,saya perlu yakin bahawa keyakinan diri,disiplin dan daya usaha adalah intipati kepada sesuatu kejayaan.

Setinggi-tinggi kerjaya idaman saya dukung, tidak akan tercapai tanpa usaha yang berterusan dan sikap pemimpin dalam diri. Oleh itu, saya harus mencurahkan usaha dan daya inisiatif yang utuh demi merealisasikan cita cita saya. Saya turut berharap agar dapat diiktiraf oleh dunia sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan disegani pada masa yang akan datang. Bak kata mutiara, "yang bulat tidak akan bergolek , yang pipih tidak datang melayang". Pelbagai dugaan yang telah saya tempuh sepanjang dua tahun memulakan peniagaan, disaat jatuh dan bangun diharapkan dapat membantu saya untuk tidak putus asa dalam perjalanan yang masih jauh ini.
Ditulis oleh,
Nur Amira Najiha Mohamad Azlan

Comments

Popular Posts